My Journey with ILLAHI
Sunday, April 10, 2016
Thursday, April 16, 2015
Roh Agama
Roh ialah asbab kehidupan. Sesuatu yang tiada roh, adalah mati. Manakala jika jasad wujud bergerak, tapi tanpa roh pula adalah umpama mayat hidup.
Di alam ini, terdapat terlampau ramai mayat hidup. Wujud mereka benar, gerakan jasad mereka benar, tapi rohnya tiada.
Aku bukan orang soleh, aku ini munafik tegar, aku lebih hina dari anjing kurap, apatah lagi nak mendekati makam kewalian. Tapi aku sangat cintakan orang soleh yakni orang yang hidup jasad dan rohnya, bukan orang "soleh" yang hanya hidup jasad tanpa roh. Dan dengan izin Allah, aku dapat rasakan dalam lubuk hatiku siapa yang punya roh atau mati rohnya. Itu bukan satu kelebihan, bukan satu keanehan, bukan nak menyatakan diriku istimewa, kerana ia dapat dirasai oleh semua kaum muslimin. Cuma penelitian tanpa sangka buruk yang membezakan. Kerana penelitian dengan sangka buruk itu adalah tanda kita ini ahli neraka yang pasti.
Hari ini, umat Islam hidup tanpa roh. Umpama patung harimau, kisah tentang kehebatannya sangat mahsyur, digeruni dan disegani kawan dan lawan zaman berzaman. Tapi sayang sejuta kali sayang, ia cuma tinggal patung yang tidak ditakuti walau oleh seekor tikus.
Tanda-tanda roh agama wujud dalam diri, perbuatan dan perkataan seseorang itu telah pun dinyatakan baginda tercinta. Apabila orang punya roh dilihat, akan buat kita ingat Allah. Apabila dia bercakap, akan buat kita ingat Allah walaupun perkataannya pendek dan ringkas. Bahkan hanya dengan senyuman dan gerak gerinya, akan buat kita ingat Allah. Membaca tulisannya, buat kita terpaku, terasa penuh nur dan roh sehingga terasa lazat di lubuk jantung dan akan buat kita terus ingat Allah walaupun tulisan itu panjang, tidak akan buat kita jemu. Seperti membaca al-quran dan hadith, walaupun berjuta kali diulang sejak kecil surah yang sama, hadith yang sama, tidak terdetik pun rasa jemu atau rasa "tidak perlu" kepadanya.
Orang yang hidup rohnya, maka yang melihat, mendengar dan membaca akan dia pasti akan terasa sejenis kekenyangan walaupun perutnya berada dalam hakikat kelaparan.
Itulah kekenyangan jiwa.
Roh dihidupkan dengan makanan. Dan kita perlukan 2 makanan untuk jadi asbab kehidupan. Yang pertama ialah makanan jasad yang halal dan toyyib supaya jasad mampu tegak dan berfungsi.
Manakala yang kedua ialah makanan kerohanian iaitu tazkiyyah nafs (penyucian hati) melalui riadah dan latihan kerohanian serta penjagaan nafsu, kebersihan hati dan juga sedekah dari ahli rohani (orang yang mempunyai roh) melalui sohbat (perdampingan) orang yang "lapar" kepadanya.
Hari ini, semua orang sibuk dengan makanan jasadi. Sibuk fikir tentang perut. Sibuk fikir apa nak makan dan sibuk dengan rezeki perut dan sibuk menyalahkan ini dan itu apabila hasil perut mereka diganggu sedangkan mereka tahu rezeki itu hak milik mutlak Allah.
Manakala jiwa dan dalaman mereka pula, tidak diberi makan kecuali sedikit. Maka sedikit makan, hidup jiwanya lemah dan kurus kering. Yang bagi makan banyak, jiwanya akan gemuk dan kenyang. Yang langsung tak beri makan, jiwanya akan mati dan membusuk dipenuhi lalat dan ulat sehinggakan syaitan pun tidak mahu dekatinya. Nasihat pula dibalas dengan marah dan nafsu.
Yang lebih hina dan bodoh pula ialah apabila wujud kumpulan syaitan bertopeng "manusia soleh" yang sibuk siang malam mereka menghalang umat Islam dari menyantap makanan kerohanian dengan menggunakan pelbagai dalil agama dan nama "quran dan sunnah" yang diputar belit sehingga mereka digelar sebagai "anjing neraka", wal'iyazubillah semoga diriku dan keluargaku selamat dari fitnah mereka.
Maka hilanglah kekuatan umat Islam.
Islam hanya tinggal gambar, seperti harimau hanya tinggal patung.
Aku telah berjumpa dengan ramai orang soleh yang sebenar (hidup roh jasadi dan rohani mereka) dan telah mengambil banyak manfaat daripada mereka. Setiap kali mereka berkata, bergerak, menulis, pasti membuat jiwaku kenyang walaupun apa yang dikatakan dan ditulis itu adalah perkara yang sangat biasa.
Aku teringat ketika berada dalam majlis seorang wali Allah yang merupakan guruku, iaitu khalifah tareqat Chistiyyah kepada Syaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Khandahlawi rahimahullah yang bernama Maulana Ibrahim Mia rahimahullah pada bulan Ramadhan, ketika beliau sedang beriktikaf dan aku dapat rasakan bahang aura rohaninya sangat tinggi sehingga buatku rasa seperti dibakar kerana jiwaku yang lemah dan tidak mampu menampung kerohanian yang melimpah-limpah itu.
Aku ingat beliau hanya berkata: "Neraka itu sangat panas."
Dan perkataan itu masuk tepat ke hatiku sehingga buatku menangis semahu-mahunya sampai tersungkur di atas lantai tak mampu berdiri, seluruh tubuhku tidak berfungsi dan aku sangkakan aku akan mati kerana terasa seperti urat jantungku akan putus.
Melihat keadaan itu, beliau berkata pula: "Allah sangat sayangkan hambaNya."
Aku terus berasa sejuk (dengan izin Allah) dan lazat seolah-olah seperti dipeluk erat dengan penuh kasih sayang, jantung urat yang menegang kembali kendur, aku tetap menangis teresak-esak, tapi dalam senyuman. Dan tangisan yang hampir membunuhku itu berubah menjadi sebuah tangisan manja.
Sejak dari itu, aku mula fahami (dengan izin Allah) perbezaan orang yang mempunyai roh dan tiada roh walaupun orang memanggilnya dengan panggilan syaikh, tuan guru, ustaz, maulana, mufti, doktor phd dan lain-lain gelaran.
Ia bukan kelebihan. Ia bukan karomah. Ia bukan keistimewaan. Jagalah hatimu! Dari menganggap aku riak, sum'ah atau takabur. Kerana perasaan merasakan roh wujud atau tidak itu boleh dirasai oleh sesiapa sahaja! Hanya penelitian (tanpa sangka buruk) yang membezakan. Jika kalian peduli dan ambil perhatian, nur itu akan masuk dan menyembelih jiwamu juga.
Apabila aku membaca tulisan keagamaan atau mendengar perkataan agama dari orang yang tiada roh. Aku rasakan ia kosong walaupun yang dikatakan itu sangat hebat, tinggi ilmunya, tinggi perbahasannya. Aku tidak merasakan lazat.
Mungkin juga salah jiwaku yang terlampau "memilih makanan" sepertimana makanan harian kita yang selalu kita pilih mengikut kesukaan nafsu kita. Sedangkan makan nasi putih kosong sahaja sudah boleh buat kita kenyang.
Tapi, lazatnya TIADA.
Jadi perkataan-perkataan agama dari orang fasik, orang munafik, orang tiada roh, akan tetap mengenyangkan walaupun mengambil sedikit masa kerana setiap sesuatu dari agama itu adalah makanan roh. Tapi disebabkan penyampainya tiada roh, maka ia umpama nasi putih kosong. Dimakan tidak nikmat, tapi tetap jadi asbab kekenyangan.
Aku baru pulang dari sebuah majlis yang penuh kerohanian di KL. Diisi oleh wali-wali Allah dari tanah Hind. Cerita dan kata-kata mereka SANGAT BIASA, tetapi tatkala aku mendengarnya, air mata mengalir dan urat jantung terasa tegang seperti yang berlaku ketika aku bersama guruku.
Mereka bercerita tentang kisah dan hadith yang sangat selalu didengari, tapi apabila dengar dari orang lain, aku rasa biasa. Tapi jika mereka yang ungkapkan, aku terus terasa seperti ditikam-tikam hebat.
Begitu juga tatkala membaca penulisan samada di buku, majalah, blog atau fb.
Walaupun tulisannya hebat menggunung. Tapi aku belum jumpa penulisan yang berjaya menggenggam hatiku, bahkan disentuh pun tidak. Jauh sekali untuk merasa lazat.
Kecuali beberapa tulisan, yang mungkin ketika ia ditulis, orang itu sedang menjaga amalnya, niatnya disucikan, berjuzuk quran dibaca, zikirnya melangit, matanya dijaga, lidahnya terpelihara, fikirnya sedang tumpu pada kubur. Maka hatiku akan terasa seperti digaru-garu oleh tulisannya.
Inilah ahli rohani, yang dibenci Dajjal. Inilah ahli rohani, yang kita terasa rindu apabila berjauhan dengannya, terasa rindu apabila tiada tulisan daripadanya, terasa rindu apabila tidak mendengar bicaranya.
Yang berusaha untuk dihapuskan Dajjal. Dengan pelbagai proksi dan ejen bahkan dari kalangan kaum muslimin sendiri.
Kerana mereka ini akan menggegar bumi. Akan hancurkan empayar Iblis. Dan kembalikan khalifah serta mengembalikan keadilan secara hakiki. Bukan keadilan yang munafik.
Tanda lain seseorang itu ahli rohani yang benar, apabila dia bercakap, kita terasa cinta. Apabila melihatnya, kita terasa cinta. Apabila bersamanya, orang ramai akan saling mencintai. Pendek kata, cinta akan disebarkan apabila mereka wujud.
Manakala orang-orang batil yang menjadi ahli rohani syaitan, apabila dia bercakap, menulis dan hadir, akan menyemarakkan kebencian. Akan membuat masyarakat pecah belah. Akan menyebabkan orang benci. Pendek kata, kebencian dan permusuhan akan tersebar apabila mereka muncul.
Orang yang menjaga keikhlasan, menjaga hati, hatinya bersih, amalnya dijaga, qurannya dijaga, zikirnya dijaga. Mereka inilah pembawa nur rohani. Kata-kata mereka akan memberi kesan walaupun sedikit dan walaupun yang diucapkan itu perkara biasa. Orang ramai akan terislah jiwanya kerananya.
Tapi sekiranya seseorang itu menjaga amalnya, zikirnya, qurannya, solatnya, matanya dan lain-lain, tetapi hatinya masih busuk, masih takabur, masih riak, masih sum'ah, masih suka sangka buruk, masih tidak qanaah, masih tidak sunyi dari cinta dunia, tidak zuhud, membenci muslimin lain dan sebagainya. Kata-kata mereka akan tetap mengeluarkan nur rohani dan akan memberi kesan kepada pendengar. Namun, orang itu tidak dikira sebagai ahli rohani haq, bahkan nabi mengisyaratkan orang itu akan ke neraka kerana orang itu hanya sibuk mengislah orang lain, tapi tidak islah diri sendiri.
Note: Roh jiwa itu seperti makanan harian kita. Bila makan, akan kenyang, tapi bila lama tak makan, ia akan kembali lapar. Sebab itulah kewarakan, kesolehan, dan semangat keagamaan itu selalunya tidak bertahan lama. Bersemangat seminggu, kemudian tersungkur kembali. Futur kembali.
Oleh kerana itulah kita perlu usahakan kerohanian kita SETIAP HARI DAN KETIKA. Perlu bersohbat dengan ahli rohani sekurang-kurangnya sebulan sekali. Perlu berada dalam majlis rohani setiap hari. Perlu kepada latihan rohani, setiap saat.
Kerana semua ini adalah makanan jiwa kita yang akan kelaparan apabila kehabisan makanan.
~ sumber dari sahabat kenalan ~
Saturday, December 27, 2014
20 Rumah yang Tidak Dimasuki Malaikat
Dalam pelbagai hadis, Rasulullah mensabdakan adanya rumah-rumah tertentu yang tidak dimasuki malaikat. Tentu maksudnya adalah malaikat rahmat. Sedangkan malaikat maut, ia boleh masuk rumah dan bangunan apapun, tanpa boleh dihalang.
Rumah-rumah bagaimana yang tidak dimasuki oleh malaikat rahmat? Mari kita semak hadis-hadisnya berikut ini:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Aku (Abu Thalhah) mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan (atau) gambar patung”. (HR. Bukhari)
عَنْ أَبِي طَلْحَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ
Dari Abu Thalhah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar.” (HR. Muslim)
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمَلَائِكَةُ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلَا كَلْبٌ وَلَا جُنُبٌ
Dari Ali bin Abu Thalib dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda: “Malaikat tidak masuk rumah yang padanya terdapat gambar dan anjing serta orang yang junub.” (HR. An Nasa’i, dishahihkan Al Albani)
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ
Dari Ali bin Abu Thalib dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar.” (HR. Ibnu Majah, dishahihkan Al Albani)
Jadi, menurut hadis-hadis di atas, ada beberapa rumah yang tidak dimasuki oleh malaikat iaitu:
1. Rumah yang di dalamnya terdapat gambar / lukisan makhluk bernyawa
2. Rumah yang di dalamnya ada anjing. Menurut Imam Qurtubi, para ulama berbeza pendapat mengenai sebabnya, antaranya kerana anjing itu najis.
3. Rumah yang penghuninya junub. Maksudnya, membiasakan diri tidak mandi / bersuci dari junub.
4. Rumah yang di dalamnya ada patung.
Selain 4 rumah tersebut, Abu Huzaifah Ibrahim bin Muhammad dalam buku Rumah yang Tidak Dimasuki oleh Malaikat menambah 16 rumah lain yang tidak dimasuki malaikat sebagai berikut:
1. Rumah orang yang memutuskan silaturahim,
2. Rumah orang yang durhaka kepada kedua orang tuanya
3. Rumah orang yang memakan harta anak yatim,
4. Rumah orang yang memakan riba.,
5. Rumah yang di dalamnya tidak disebutkan Asma Allah,
6. Rumah yang tidak ada shalawat di dalamnya dan lebih mementingkan hawa nafsu,
7. Rumah yang di dalamnya banyak caci maki dan laknat,
8. Rumah yang di dalamnya ada alunan lagu selain dzikir,
9. Rumah yang di dalamnya ada loceng,
10. Rumah yang digunakan minum arak,
11. Rumah yang diduduki perjudian dan sajian berhala,
12. Rumah yang di dalamnya ada syirik dan mantera-mantera,
13. Rumah yang di dalamnya ada bau tidak sedap atau penghuni laki-lakinya melumuri tubuh dengan kunyit,
14. Rumah yang penghuninya hidup boros,
15. Rumah yang penghuninya terus menerus melakukan kedurhakaan,
16. Rumah yang digunakan untuk kekejian, atau dosa besar.
Semoga kita dapat menguruskan rumah kita sehingga tidak termasuk dalam 20 rumah tersebut. Dan semoga malaikat rahmat suka masuk ke rumah kita untuk menyampaikan rahmat Allah kepada kita dan keluarga.
*Sumber dari www.bersamadakwah.com
Subscribe to:
Posts (Atom)