Original Posted by Abu Anas Madani
Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita
dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak
disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh
Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli
keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
Alhamdulillah, bulan Ramadhan kembali menemui
kita. Banyak ilmu yang perlu kita ulangkaji berkenaan amalan-amalan di dalam
bulan Ramadhan, agar kita dapat memperoleh manfaat dan ganjaran yang sepenuhnya
pada bulan yang mulia ini.
Risalah ringkas ini akan membincangkan tentang
“Solat Terawih” dan perkara yang berhubung kait dengannya.
Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a.
menerangkan bahawa Rasulullah saw menganjurkannya pada malam Ramadhan dengan
anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:
((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ
إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri
(beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada
Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [Sahih Muslim, no: 759]
Takrif Solat Terawih:
Menurut bahasa (lughah): Terawih bermaksud
berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.
Menurut istilah: Terawih ialah
ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan. Bermula
waktunya selepas solat isya’ dan berakhir dengan masuk waktu subuh, tidak
termasuk sunat ratibah isya’ dan solat witir.
Dinamakan terawih kerana orang yang melakukannya
akan berehat selepas empat rakaat (dua salam).
Solat terawih termasuk solat tahajjud atau
solatul-lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat
atau surah daripada al-Quran.
Waktu Melakukan Solat
Terawih.
Sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas: “Sesiapa berdiri
(beribadat) pada malam Ramadhan…”. Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat terawih ialah
sesudah masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Ini
bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh
melakukannya pada pertengahan atau akhir malam.
Hukum Solat Terawih
Solat terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut.
Rasulullah saw telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti
hukumnya adalah sunat dan tidak wajib.
Sejarah Terawih:
Ummul Mukminin Aishah ra, meriwayatkan bahawa Rasulullah saw
melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat
malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. [HR Bukhari dan Muslim].
Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir
bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda saw
bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan
sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.
Abi
Zar t meriwayatkan
Nabi saw bangun
bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan
pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda saw:
“Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka
Nabi saw bersabda:
((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ
الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]
Maksudnya: “Sesiapa
yang berdiri (bersolat terawih) bersama
imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang
yang Qiyamsemalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).”
[HR At-Tirmizi, sahih].
Imam
Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga selesai
dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.
Berkata
sebahagian ulama’: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam
seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu
Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir ra bahawa Nabi Muhammad saw melakukan
solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.
Khalifah Umar bin Al-Khatab ra ialah orang pertama yang mengerah umat
Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab
ra.
Solat terawih dilakukan berjemaah pada setiap
malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga
rakaat solat witir.
Cara Perlaksanaan Solat
Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara
berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada
anjuran Rasulullah saw seperti hadis di atas.
Namun jika menghadapi kesempitan untuk
melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara
bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya
secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan
bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.
Menurut imam Al Ghazali rh walaupun solat
terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang
dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang
mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat
berjemaah.
Bilangan Rakaat Solat
Terawih.
Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah
lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala
timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya
dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat?
Persoalan jumlah rakaat bagi solat terawih telah
menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji
dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud.
Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat
terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat kedua:
Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ketiga:
Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat terawih
dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat witir.
Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan
hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang
penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat
yang berbeza dengan kita.
Ibnu Umar ra menceritakan: Seorang lelaki datang
bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi saw:
صَلاةُ
اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً
وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.
Maksudnya: “Solat malam ialah dua rakaat, dua
rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat,
menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat” [HR:
Bukhari].
Rasulullah saw tidak menyebut bilangan rakaat
solat malam, malam pula panjang masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini
menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.
Berkata Imam Asy-Syafie: “Aku telah melihat
orang ramai mendirikan solat terawih di Madinah 39 rakaat, di Makkah 23
rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan).”
Katanya lagi: “Jika mereka panjangkan qiyam berdiri
(dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka
membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga
adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai.”
Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan
solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar
lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini
mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang
pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat separuh
jalan.
Antara Kualiti dan
Kuantiti.
Persoalan yang lebih penting dalam solat terawih
ialah cara melaksanakannya. 8 atau 20 rakaat, yang penting ialah membaca surah
al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan
khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca senafas dan jangan dibaca dengan
tujuan mengejar jumlah rakaat.
Demikian juga dengan toma’ninah dalam solat, jadi yang penting ialah kualiti dan
bukan kuantiti. Maka pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak
sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).
Antara aspek kualiti
yang sering ditinggalkan ialah:
1. Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara
tartil, iaitu sebutan
kalimah-kalimah al-Qur’an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul.
Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil:4]
2. Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah
selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran
pahala yang amat besar.
3. Mengabaikan toma’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat
seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di
dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan
dengan betul dan sempurna jumlahnya.
Pernah seorang lelaki bersolat tanpa toma’ninah
pada zaman Rasulullah saw. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw
memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu menunjukkan toma’ninah ialah syarat sah
solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih
atau selainnya, adalah tidak sempurna.
4. Tidak mengambil berat tentang melurus
dan memenuhkan saf solat.
Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah memberi
peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:
لَتُسَوُّنَّ
صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُم .
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan
tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu).” [HR Bukhari].
Sabda Baginda saw lagi:
سَوُّوا
صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu, kerana saf yang
lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat.” [HR Bukhari].
Berdasarkan perbincangan di atas, sama-samalah kita jadikan solat terawih
pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan
bukannya kuantiti.
Semoga semua amalan baik kita diterima oleh
Allah swt.
Sekian.
Rujukan:
- التراويح أكثر من ألف عام
في مسجد النبي عليه الصلاة والسلام. – الشيخ عطية محمد سالم.
- حكم التراويح والزيادة
فيها على إحدى عشرة ركعة. – دكتور عبد الرحيم الهاشم، دار ابن الجوزي، 1426هـ.
- تيسير الفقه في ضوء
القرآن والسنة (فقه الصيام) دكتور يوسف القرضاوي.
No comments:
Post a Comment