Wednesday, May 22, 2013

Sementara masih bernyawa ( part1 )


Innalhamdalillahi nahmaduhu, wanusolli a'la rasulihil karim,
amma ba'du


Assalamualaikum..

Bila tengok je topik kat atas ni, lain mcm jer ana nie.. huhu.. suspennn.. tapi ni la hakikatnya yang 
ana akan tulis.

Kebelakangan nie, aku banyak mendiamkan diri. Diam diri bukan lah makna aku sombong. Sebenarnya aku dah banyak buat silap.. itu jer.. jadi kene laa duk diam-diam.. Ada gak yg kata aku dah keluar dari geng, dah mula jadi sejukkk... hahaha.. Sebenarnya, hati aku milik Allah swt.. aku banyak buat silap.. aku sendiri yg melangkahkan kaki kuar dari bulatan... skrang aku berdoa kepada Allah, moga dipilih kembali..  Semuanya ada "khair", bila aku  keluar, banyak benda aku nampak.. bak kata orang alim,

"dalam satu jemaah, mesti ada keburukan.. dan bila kita di dalamnya, agak payah nak nampak 
benda ni. Senang kata, bila satu orang naik kenderaan, dan pakaiannya yg labuh tu tersepit di pintu 
dan terkeluar, maka orang itu tidak nampak, yang nampak orang di luar.. maka...."

lebih kurang mcm tu la.. agak-agak paham ke? haa? tak paham... takpe,.. buat-buat paham je la..
Jadi, life aku skrang, tiada apa-apa pun.. dulu joshh.. skrg.. suam-suam kutu... huhu..
Insyallah 24,25 dan 26 mei nie aku azam nak keluar kembali... (3 hari jer, sekitar senawang) 
TOLONG DOA KAN YEA..

Allahamdulillah bulan lepas, aku dapat hadir ke salah satu kuliah agama yang TERINGIN SANGAT
aku nak hadir dalam tahun ni.. ni gambar di Masjid saujana impian, selangor.




Oleh kerana nak sangat tengok UAI, secara dekat.. nak tengok raut muka, wajah orang alim... aku
redah perlahan-lahan masuk dalam... hehehe..  sorry laa, hp nokia lama.. tu pun pinjam dengan 
ahliya... kesian ahliya.. dia pun nak datang gak.. tapi tak kesampaian.. lum masa lagi agaknya..









SEMUANYA MILIK ALLAH... aku bukan la wali.. aku hanya hamba yang dambakan syurga Allah..


nasihat aku, SEDIAKAN IMAN DAN AMAL ANDA

Tinggalkan perkara mungkar.. datang kepada kebaikan... banyakkan dakwah..
dakwah sesama sendiri pun boleh...

kerana amalan DAKWAH lah yg terlalu banyak KESAN YG HEBAT masuk dlam HATI... Allah swt suka.. lagi-lagi bila kita memuji-muji Allah.. mengAgungkan Allah... banyak cerita akhirat...

JANGAN TINGGALKAN SOLAT,  DAN AMALAN-AMALAN SOLEH /SOLEHAH..



Insyallah akan bersambung..           


Wallahu a'lam



Tuesday, May 14, 2013

Cara Mengenal Bulu Khinzir Yang Dijadikan Berus


Dalam kehidupan seharian, kita banyak dihadapkan dengan peralatan yang memberi kemudahan kepada kita. Tetapi adakah kita ambil tahu tentang peralatan tersebut halal atau sebaliknya? Antara perkara yang akan saya sentuh adalah peralatan berkaitan dengan berus seperti berus cat rumah, berus blusher, berus cat lukisan dan sebagainya. Jom kita tinjau berus yang berunsurkan bulu khinzir atau babi.

Kebanyakan berus yang murah dari China diperbuat daripada bulu khinzir. Ini kerana terdapat ciri-ciri khas pada bulu tersebut menyebabkan ia begitu popular dijadikan berus untuk mengecat, mewarna dan membersihkan rumah.


Ciri-ciri bulu khinzir:

Bulu yang rimbun dihujungnya (lebih tepat hujung bercabang). Boleh diubahsuai dengan bahan kimia untuk menjadi lembut atau keras. Susah tertanggal dan jatuh atau cepat rosak. Senang didapati berbanding bulu haiwan lain.

Bulu khinzir atau khinzir hutan dipanggil "Bristle" kerana bentuk mereka yang keras dan kasar. Hujung bulu khinzir ini mempuyai sifat yang unik iaitu hujungnya akan bercabang (split ends). Bristle daripada wilayah Chungking China adalah yang terbaik untuk digunakan untuk mengecat.

Manakala berus bulu kambing atau biri-biri banyak digunakan untuk kaligrafi. Hujungnya tidak bercabang seperti bulu khinzir. Bulu kambing atau biri-biri ini mempunyai hujung yang tajam.

Maha suci Allah telah menjadikan bulu khinzir berbeza dengan haiwan yang lain dan inilah salah satu hikmah disebaliknya - agar umat Islam dapat membezakannya. Namun masih ramai yang tidak mengetahuinya oleh kerana sebahagian besar daripada kita mengambil sikap acuh tidak acuh dalam hal kecil seperti ini. Walaupun ia kelihatan kecil tetapi kesannya begitu besar kepada diri kita tanpa kita menyedarinya.

Jadi, mulai hari ini berhati-hatilah dengan peralatan yang berasakan bulu. Insyallah dengan izinnya,semoga kita semua sentiasa dilindungi.    ~amin~



Sumber artikel dari halaqa.net





Friday, May 10, 2013

10 Kemungkaran Dan Bidaah Dalam Majlis Kahwin Melayu



Ini merupakan sedikit sebanyak kemungkaran dan bidaah yang sering dilakukan dalam majlis perkahwinan melayu.. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama, insyaAllah.. Antara 10 kemungkaran dan bidaah dalam majlis kahwin melayu yang sering dilakukan ialah..

1. Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.
Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada (mahram mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)

2. Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki. (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah s.w.t berfirman: “…Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)


3. Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4. Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna
Rasulullah s.a.w bersabda: “Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.“

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5. Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, dan di dalam banyak hadith-hadithnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

6. Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah: “Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7. Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah: “Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8. Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syariat atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, [2:104]: “Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9. Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10. Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas kahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan mas kahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah s.w.t berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami). Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: 

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadith Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadith. Umar al-Khaththab r.a berkata: “Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah s.a.w.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan Al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.



Komen dari admin :-

Belajar lah ilmu Agama, sementara masih hidup. Jangan segan jangan malu.. banyakkan muhasabah diri, keluar di jalan Allah lihat ciptaan Allah... bagi masa LEBIH untuk akhirat.. bawak AGAMA dalam kehidupan, didik anak-anak DENGAN AGAMA..  DOA..  

Ulama / Orang alim bagi tahu, kita semua berada di akhir zaman, zaman kerosakan ummat atau zaman fasha dan mungkar. Walaupun masanya jauh lagi atau pun dah dekat.. kiamat diri sendiri sentiasa menunggu..
Credit to :- Nizarazu for articles
P/s : Ada masa dlam internet.. ok cuba google benda-benda mengenai akhir zaman, syurga neraka.. kedatangan akhir zaman dll...  dlm fb,twitter, raja lawak, tak de benda nie...


Wallahua’lam





Wednesday, May 8, 2013

6 perkara yang Allah swt sembunyikan..





Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:


"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik

daripada aku?."



Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud,


 "Tidak"



Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.



Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud.



"Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.'


Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."



Kemudian Jibrail as berkata: 


"Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"



Lalu Allah berfirman yang bermaksud, 


"Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."



Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.


Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbang lah malaikat jibrail as selama 3000 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:



"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? "



Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud,


"Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... ."




Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :


  • Allah S.W.T telah menyembunyikan redhaNya dalam taat.
  • Allah S.W.T telah menyembunyikan murkaNya di dalam maksiat.
  • Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
  • Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
  • Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
  • Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.



Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini.




Wallahualam






Kalau rajin... Tolong sebarkan cerita ini kepada saudara Muslim yang lain agar menjadi renungan dan pelajaran kepada kita semua. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah meninggal dunia...




sumber dari halaqah.net






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...